Kandungan program kreatif, berinovasipenuhi selera penonton seluruh negara
KUALA LUMPUR: Stesen TV AlHijrah yang bakal disiarkan di Saluran Astro 114, mulai 1 Jun ini mampu menarik lebih ramai penonton Muslim berikutan penyiarannya lebih meluas ke seluruh negara.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kelebihan itu ditambah pula dengan kandungan program TV AlHijrah yang kreatif, berinovasi dan berkonsepkan Islam yang mampu merancakkan industri penyiaran negara, khususnya bagi segmen penonton Muslim.
“Selain mampu memenuhi selera penonton, apa yang menarik, TV AlHijrah juga akan memulakan siaran lebih awal berbanding sekarang.
“Bagi hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad, siarannya bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam, manakala Isnin hingga Khamis mulai jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
“Kawasan siarannya juga bertambah dan meluas mengikut 13 juta pelanggan ASTRO. Ketika ini siaran TV AlHijrah boleh ditonton di Terengganu, Pahang, Lembah Klang, Utara Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Pusat Islam di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.
TV AlHijrah ditubuhkan enam bulan lalu dengan peruntukan masa 72 jam seminggu. Antara program dihasilkan ialah Madrasah AlHijrah, Reflection, Khidmat Syariah dan Cinta Masjid.
Cinta Masjid adalah satu program kemasyarakatan yang mana TV AlHijrah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan mendekati rakyat dengan pelbagai program di masjid di seluruh negara.
Jamil Khir berkata, sejajar slogan TV AlHijrah, ‘Segalanya bermula di sini,’ satu program realiti, Solehah akan diperkenalkan pertengahan Jun ini dalam usaha mencari bakat pendakwah di kalangan wanita.
“Program Solehah berbentuk keagamaan dengan penonton sasarannya adalah wanita,” katanya.
sumber : berita harian
0 comments:
Post a Comment